Pusaka iLmu

Aku Seorang Pencinta & Perindu kpd ILmu yg Memberikan Aku Manfaat di Dunia & di Akhirat.

I made this widget at MyFlashFetish.com.

Promosi Produk Jualan kami ( tekan gambar di bawah)

PERHATIAN SEMUA ...!!!
TEKAN jah kat topik Yang nak dibaca...
HARAP MAKLUM...

Tuesday, April 13, 2010

Ali Karamallahu Wajhah r.a

  • Ali bin Abi Talib (w. 40H / 661M)
Beliau ialah Ali bin Abi Talib bin Abd Muttalib bin Hashim bin Abd Manaf bin Qusai bin Kilab al-Qurashi. Beliau dipanggil juga dengan kuniah Abu Hasan atau Abu al-Sabtain. (Hasan Ibrahim Hasan 1:265)
Ali dilahirkan di Kota Mekah 10 tahun sebelum baginda Rasulullah saw dilantik menjadi rasul (atau 23 tahun sebelum peristiwa Hijrah ke Madinah). Beliau sentiasa bersama baginda saw sejak kecil lagi. Kebetulan pada masa itu baginda sentiasa bersama bapa saudaranya Abu Talib, iaitu ayahanda kepada Ali (al-Maraghi 1:62)
Ali memiliki sifat-sifat mulia, bermaruah, bersikap jujur, menghormati janji dan berhati-hati di dalam urusan harta benda orang-orang Islam. Beliau juga terkenal seorang pemuda yang gagah berani kerana kebenaran. Kesemuanya ini adalah hasil daripada didikan yang diterimanya daripada Rasulullah saw. (Hasan Ibrahim Hasan 1:272).
Selain dari mempunyai pertalian keturunan dengan baginda, Ali juga adalah suami kepada puteri baginda, iaitu Fatimah r.ha. Perkahwinan mereka berlangsung pada tahun 2H. Di dalam menyambut seruan baginda, beliau adalah kanak-kanak pertama yang menerima seruan baginda itu. Diriwayatkan bahawa wahyu pertama diturunkan kepada baginda Rasulullah saw pada hari Isnin semasa umur Ali mencapai 10 tahun. Pada keesokannya, iaitu hari Selasa Ali terus menganut agama Islam. (al-Maraghi 1:62; Hasan Ibrahim Hasan 1:265-266)
Dalam perkembangan dakwah Islam, beliau adalah seorang pejuang yang bersifat berani. Beliaulah pemuda yang meniduri tempat tidur baginda saw pada malam orang-orang Quraish merancang untuk membunuh baginda. Beliau dikatakan turut serta berperang bersama Rasulullah saw hampir dalam semua medan peperangan kecuali perang Tabuk, kerana beliau pada masa itu ditugaskan mengawasi Kota Madinah. Dalam peperangan tersebut beliau juga turut mengalami kecederaan. Dikatakan terdapat 16 kesan tikaman pada badannya.
Dalam peperangan Khandaq, beliau merupakan antara pejuang Isam yang keluar bertarung dan telah berjaya menghapuskan lawannya. Di dalam peperangan Khaibar pula, beliau adalah pemegang bendera yang membawa kejayaan kepada tentera Islam pada masa itu. (al-Maraghi 1:63)
Dalam perkembangan ilmu Islam pula, Ali adalah seorang sahabat yang banyak meriwayatkan hadith, menghafaz al-Quran, dan mengeluarkan fatwa. Ramai sahabat yang mengambil hadith daripadanya, antaranya; termasuklah kedua putranya al-Hasan dan al-Husain; Ibn Mas'ud; Ibn Abbas; dan Abu Musa al-Ash'ari. (al-Nawawi 1:345)
Ali juga merupakan seorang tokoh di dalam bidang bahasa, seorang penyair yang berkaliber, mengatasi tiga orang khalifah sebelumnya di dalam bidang ini, petah memberi ucapan dan pintar mematahkan hujah lawannya. (al-Maraghi 1:63; Hasan Ibrahim Hasan 1:272-273). Ibn Umar menganggap Ali bin Abi Talib sebagai seorang yang amat arif tentang faraid di Kota Madinah. (al-Shirazi :42)
Pada masa pemerintahan Abu Bakar, Ali adalah penasihat khalifah di dalam pelbagai urusan penting. Khalifah Umar pula tidak pernah melakukan sesuatu tindakan tanpa bermusyawarah dengannya terlebih dahulu. Hal ini disebabkan Umar mengetahui Ali mempunyai kefahaman yang mendalam tentang perundangan dan agama, disamping kepintaran akalnya. Justeru itu, Ali merupakan diantara enam orang yang dicalonkan Umar untuk memegang jawatan khalifah selepasnya. (Hasan Ibrahim Hasan 1:266)
Ali dilantik menjadi khalifah selepas pembunuhan Uthman di tangan pemberontak pada tahun 35H. Walaubagaimanapun, beliau tidak berjaya mengawal perpaduan umat Islam kerana sejak awal-awal lagi beliau telah ditentang oleh beberapa orang sahabat, termasuk isteri Rasulullah saw sendiri, iaitu Aishah, kerana sikapnya yang melambat-lambatkan tindakan terhadap pembunuh Uthman.
Tentangan ini mengakibatkan berlakunya peperangan al-Jamal pada tahun 36H. Biarpun peperangan ini berakhir dengan kemenangan pihak Ali tetapi akibatnya ramai para sahabat yang terkorban. Kemudian beliau ditentang pula oleh Gabenor Sham, iaitu Muawiyah bin Abu Sufyan, keran tindakannya memecat Muawiyah dan beberapa Gabenor lain yang dilantik semasa khalifah Uthman. Tentangan ini mencetuskan perang Siffin, tahun 37H.
Perang Siffin berakhir dengan Majlis Tahkim. Akibatnya penyokong Ali telah berpecah kepada dua kumpulan; kumpulan yang menyokongnya dan kumpulan yang menentangnya. Mereka yang menyokongnya dikenali sebagai kaum Syia'h dan mereka yang menentangnya pula dikenali sebagai kaum Khawarij. Kedua-dua kumpulan ini sama-sama menentang pemerintahan Muawiyah dan para khalifah Bani Umaiyah yang lain pada masa berikutnya.
Masalah besar yang timbul dalam sejarah politik Islam pada masa itu ialah orang-orang Islam telah berpecah kepada tiga kumpulan. Satu kumpulan menyokong khalifah Ali; Kumpulan kedua menyokong Gabenor Sham, iaitu Muawiyah; Manakala kumpulan ketiga pula terdiri dari mereka yang menentang Ali dan juga Muawiyah dan mengkafirkan sebilangan para sahabat dan orang-orang Islam. Kumpulan ini dikenali sebagai Khawarij. (al-Maraghi 1:64)
Pada akhir pemerintahan Ali bin Abi Talib, suasana di dalam negara Islam pada masa itu dalam keadaan kucar-kacir. Kesempatan ini telah diambil oleh kumpulan Khawarij. Mereka merancang untuk membunuh Ali, Muawiyah, dan Amru bin al-A's dengan tujuan supaya dengan terbunuhnya ketiga-tiga mereka, umat Islam akan terlepas daripada peperangan yang dicetuskan ekoran dari perebutan jawatan Khalifah. Mereka yang merancang melakukan jenayah tersebut terdiri daripada Abd Rahman bin Muljam; al-Birk bin Abdullah; dan Amru bin Bakr al-Tamimi. (al-Maraghi 1:65)
Ali telah berjaya dibunuh oleh Ibn Muljam ketika beliau keluar untuk menunaikan sembahyang subuh dan wafat pada 17 Ramadhan, tahun 40H. Bagaimanapun, kedua-dua rakan Ibn Muljam tidak berjaya membunuh kedua-dua sahabat yang menjadi sasaran mereka. Dengan kematian Ali bin Abi Talib, maka berakhirlah babak pertama sejarah pemerintahan Islam selepas baginda Rasulullah saw, iaitu era pemerintahan al-Khulafa' al-Rasyidun. (al-Nawawi 1:349; Ibn al-Athir 4:91)

Sudi - Sudikanlah Saudara/ri KU
Untuk Berkongsi Ilmu Pengetahuan &
Maklumat. Kerana Ilmu Yang Bermanfaat Akan
Menjadi Bekalan di Dunia & di Akhirat...
Wassalam...
Template by - Abdul Munir - 2008